PLACID (tengah) keluar dari mahkamah selepas menang saman terhadap atlet taekwando negara. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Sarah Zulkifli


ATLET taekwando negara, Nur Dhia Liyana Sharuddin diperintah membuat permohonan maaf bertulis di akhbar terhadap warga emas orang kurang upaya (OKU) selepas menang saman berhubung dakwaan mencederakan mangsa di LRT Putra Heights, dua tahun lalu.

Permohonan maaf bertulis terhadap bekas pegawai keselamatan, Placid P Rodriguez, 71, (plaintif) yang juga separa pekak dan buta itu perlu dilakukan Nur Dhia selaku defendan dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan atlet yang pernah memenangi pingat perak dalam acara taekwondo pada Sukan SEA 2017 itu membayar ganti rugi am RM1,000 dan ganti rugi khas RM88 serta kos RM1,000 kepada plaintif.

Hakim Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur, Lalilatul Zuraida [email protected] membuat keputusan itu di dalam kamar, hari ini, selepas membenarkan saman yang dikemukakan Placid menerusi peguam yang mewakilinya, Datuk Dr S Arunan terhadap Nur Dhia, 25, selaku defendan.

Arunan ketika ditemui media selepas keputusan kes saman itu berkata, saman itu difailkan untuk menuntut keadilan ke atas apa yang berlaku terhadap anak guamnya dan bukan untuk menuntut wang semata-mata. “Kini, apa yang lebih penting, defendan perlu memohon maaf kepada anak guam saya atas apa yang terjadi,” katanya.

Sementara itu, Placid yang hadir ke mahkamah ditemani keluarganya kelihatan tenang selepas mendengar keputusan mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutan Placid, dia mendakwa selepas tiba di stesen Putra Heights pada 7 Julai 2017, dia membenarkan penumpang lain turun terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan dan dirinya tertolak.

Rodriguez mendakwa, dia tiba-tiba ditolak defendan ketika berjalan di atas platform.

Keadaan itu menyebabkannya berada di dalam keadaan terkejut dan dia yang ketika itu memakai alat bantuan pendengaran, terdengar suara perempuan memarahinya.

Plaintif mendakwa defendan ketika itu menyerangnya sebanyak tiga kali di kaki kiri dan dua kali di kaki kanannya serta melemparkan perkataan dan jeritan yang memalukan di hadapan orang ramai.

Dalam pernyataan Rodriguez itu, dia mendakwa merayu kepada defendan supaya berhenti menyerangnya namun tidak diendahkan dan terus menyerangnya tanpa sebarang rasa belas kasihan.

Akibat perbuatan defendan, plaintif mengalami kesakitan, selain turut mengalami tekanan mental dan emosi serta trauma untuk keluar bersendirian kerana takut kejadian sama berulang.

Pada 8 Ogos tahun lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya melepas tanpa membebaskan (DNAA) Nur Dhiya Latas pertuduhan mencederakan Placid.

Majistret Nurshahirah Abd Salim memutuskan sedemikian selepas representasi yang dihantar oleh Nur Dhia kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Selangor diterima bagi menggugurkan kes itu.

Pada 24 Januari 2018, Nur Dhia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan Placid di platform bawah stesen LRT Putra, Persiaran Putra Indah, Putra Heights, di sini, jam 6.40 petang, 6 Julai 2017.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 3:20 PM