MANGSA diberi rawatan awal oleh anggota penyelamat. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


LELAKI Nepal parah selepas terjatuh dari jambatan akibat mabuk berhampiran Dataran Merdeka, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Rudy Abdullah berkata, mangsa berusia 42 tahun terjatuh dari jambatan berkenaan sebelum disedari orang awan yang berada di lokasi pada jam 3.52 petang tadi.

“Penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tiba di lokasi kemudian membantu memberikan rawatan awal.

“Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut. Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rudy berkata, siasatan mendapati mangsa dipercayai mabuk ketika berjalan di jambatan berkenaan.

“Keadaan mangsa kini stabil dan sedar selepas menerima rawatan lanjut dari HKL.

“Mangsa dipercayai tinggal di negara ini sejak setahun lalu dan bekerja di ibu negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 8:30 PM