Kebakaran di Taman Kempas. FOTO Nor Farhani Che Ad.
Nor Farhani Che Ad


“KETIKA sedang tidur saya dengar ada orang menjerit api beberapa kali sebelum rakan ketika itu berada di rumah mengejutkan saya untuk menyelamatkan diri.

“Waktu mahu keluar, saya tengok api dari rumah jiran sebelah kanan sudah menjulang tinggi,” kata Mohd Khairul Amri Rosli, 22.

Kediamannya terbakar 60 peratus dalam kebakaran membabitkan tiga buah rumah di Taman Kempas, Sungai Petani, hari ini.

Dua lagi rumah masing-masing terbakar 90 dan 10 peratus.

Mohd Khairul berkata, terdahulu rakannya, Mohd Amir Mansor, 22, ke rumahnya sekitar 9 pagi terdengar seakan bunyi kaca pecah dari arah kediaman jirannya ketika itu tidak berpenghuni.

“Dia ingat tak ada apa-apa berlaku, namun terkejut bila ada seorang wanita di luar rumah menjerit ada api dan minta kami segera menyelamatkan diri,” katanya.

Pemuda ini berkata, dia sempat menyelamatkan beberapa kenderaan milik ahli keluarga seperti kereta bapa dan dua motosikal.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Syukri Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.04 pagi sebelum tiba di lokasi 10 minit kemudian.

Katanya, seramai 16 anggota bersama empat jentera dari BBP Tikam Batu dan BBP Sungai Petani dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bakar Arang dan PBS Sungai Petani membabitkan enam anggota.

“Ketika tiba di tempat kejadian, rumah di bahagian tengah sudah terbakar 70 peratus dan api merebak ke kediaman sebelah kiri.

“Bagaimanapun, kami berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah sebelah kanan,” katanya.

Mohd Syukri berkata, kebakaran turut menyebabkan dua kenderaan iaitu jenis Grand Livina dan Honda Jazz mengalami kerosakan.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 2:01 PM