ANTARA GRO warga asing yang ditahan. FOTO Ihsan Polis
Mohd Azam Shah Yaacob


BUKAN sekadar teman untuk berhibur, namun sebuah pusat karaoke terletak di Jalan Cheras Perdana di Balakong turut menawarkan gadis untuk dibawa pulang sebagai teman tidur.

Gadis yang ditawarkan pula terdiri daripada warga Vietnam dan Indonesia yang mana pelanggan perlu membayar RM400 bagi dilayan untuk tempoh satu malam sama ada di rumah sendiri atau mana-mana lokasi disukai.

Bagaimanapun kegiatan pusat hiburan itu dikesan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menerusi Ops Noda dijalankan tengah malam tadi.

Pemangku Pegawai Turus D7 Selangor, Asisten Superintendan Rozam Effandy Raslee berkata, dalam operasi bermula jam 12 tengah malam itu, polis berjaya menahan 18 wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30-an.

Katanya, wanita yang ditahan itu terdiri daripada 16 warga Vietnam dan dua warga Indonesia.

“Selain wanita warga asing bekerja sebagai GRO, polis turut menahan pekerja premis berkenaan membabitkan empat lelaki Bangladesh serta 12 warga tempatan termasuk tiga wanita.

“Hasil siasatan mendapati pusat hiburan berkenaan bukan sekadar menawarkan pakej hiburan di premis itu sebaliknya mereka turut menawarkan wanita pelayan pelanggan warga asing untuk dibawa pulang dengan bayaran RM400 semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.


KEADAAN dalam pusat karaoke. FOTO Ihsan Polis

Rozam berkata, untuk berhibur di premis berkenaan sambil dibelai GRO ditawarkan, pelanggan perlu membayar antara RM60 hingga RM100 bagi tempoh satu jam.

Katanya, siasatan dijalankan mendapati kesemua GRO berkenaan dijaga oleh seorang ‘ibu ayam’ atau ‘mummy’ yang bertindak menjadi orang tengah antara pelanggan bagi mendapatkan khidmat ‘pulang ke rumah’ bersama GRO disukai.

“Dalam serbuan itu beberapa GRO cuba bersembunyi dalam ruangan audio di belakang pembesar suara bilik karaoke di pusat hiburan berkenaan, selain dua lelaki Bangladesh yang menyorok atas siling.

“Namun usaha mereka sia-sia kerana polis sudah menduga tindakan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, premis berkenaan didapati beroperasi tanpa lesen sah dan pihaknya merampas beberapa peralatan audio, 21 botol minuman keras pelbagai jenama serta wang tunai RM887.

Katanya, Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Eksais 1976 dan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor 1995.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 3:04 PM