Mohd Isa ketika hadir di Mahkamah Kuala Lumpur 4 April lalu bagi sebutan semula kes pertuduhan pecah amanah dan menerima rasuah bagi meluluskan pembelian hotel di Kuching. FOTO Zunnur Al Shafiq
Nur Lela Zulkipli


PERBICARAAN kes bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad membabitkan pertuduhan pecah amanah dan menerima rasuah ditetapkan selama 13 hari, Oktober ini.

Ia ditetapkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika kes itu disebut buat pertama kali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Mahkamah menetapkan tarikh berkenaan bermula 7 hingga 9 Oktober sebelum disambung pada 14 hingga 25 Oktober selain sebutan kes pada 13 Mei ini.

Mohd Isa sebelum ini didakwa atas 10 pertuduhan pecah amanah dan menerima rasuah berhubung pembelian hotel di Kuching, Sarawak.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai memaklumkan kepada mahkamah hanya tiga dokumen yang akan digunakan sepanjang perbicaraan belum lengkap, namun dijangka dapat diserahkan selewat-lewatnya minggu ini.

“Dokumen lain sudah pun diserahkan kepada pasukan pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah. Bakinya akan diserahkan minggu ini,” katanya.

Terdahulu, Mohd Isa, 70, yang diwakili peguam Ridha Abdah Subri mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan semula.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Isa didakwa sebagai seorang Pengarah Syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd yang diamanahkan dengan dana syarikat itu melakukan pecah amanah dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suit di Kuching Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Felda.

Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah FELDA Bil 303 bertarikh 25 Jun 2013 yang dibuat berkenaan pelaksanaan amanah itu.

Yang mana ahli lembaga pengarah FELDA memberi mandat kepada Ahli Lembaga Pengarah Syarikat FIC dalam membuat keputusan pelaburan membabitkan projek bernilai RM100 juta ke bawah.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua hingga ke sepuluh, Mohd Isa didakwa secara rasuah menerima suatu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai yang kesemua berjumlah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel iaitu ahli lembaga pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd melalui Muhammad Zahid Md Arip sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian hotel berkenaan.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49 dan 50 Menara Felda Platinum Park, No. 11 Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 29 April 2014 dan 11 Disember 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 2:37 PM