ANTARA warga asing yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Khas di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Harian Selayang. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA lagi lelaki tempatan ditahan semalam, menjadikan jumlah tangkapan empat individu yang terbabit dengan kegiatan peras ugut terhadap peniaga di pasar borong di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dua suspek masing-masing berusia 49 dan 64 tahun itu ditahan dalam satu serbuan jam 2.30 petang, semalam.

“Dua suspek berkenaan direman sehingga 13 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

“Dua tangkapan terdahulu pula ditahan reman sehingga esok,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, dalam serbuan berasingan, seramai 113 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Khas dilakukan di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Harian Selayang, awal pagi tadi.

Katanya, operasi bermula jam 12.30 tengah malam hingga 8.45 pagi itu disertai 530 pegawai dan anggota polis dengan kerjasama anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Seramai 191 warga asing diperiksa dalam operasi terbabit dan daripada jumlah itu, 113 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki permit sah. Turut ditahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 49 dan 64 tahun yang disyaki melakukan peras ugut.

“Semua individu yang ditahan dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius dan komited meneruskan operasi itu dari semasa ke semasa untuk membanteras permasalahan kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Ia sekali gus memastikan pasar borong di ibu negara ini bebas daripada sebarang unsur gangsterisme dan memastikan bandaraya Kuala Lumpur berada dalam keadaan selamat.

“Kami juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati membuat kutipan wang serta mengambil kesempatan ke atas peniaga dengan cara membuat ugutan atau mendatangkan ketakutan terhadap mereka

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03 21159999, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul (03 40482225) atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 8:20 PM