FOTO Hiasan
Nurul Fatihah Sulaini


DUA pelajar tingkatan lima dan seorang penuntut kolej antara ditahan polis dalam serbuan di sebuah bangunan di Jalan Pasir Akar, Kampung Dalam Huma, Hulu Besut, Jertih, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, dalam serbuan 2 pagi itu, pihaknya menahan 19 individu termasuk seorang wanita kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Semua suspek ditahan dalam satu bilik di tingkat bawah bangunan berkenaan dan ada dalam kalangan mereka ini cuba melarikan diri.

“Pemeriksaan lanjut di atas lantai bilik itu menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi satu biji pil warna biru dan bercetak disyaki dadah jenis ecstasy,” katanya.

Mohd Zamri berkata, hasil soal siasat, pelajar lelaki dan perempuan serta penuntut lelaki ditahan itu mengakui baru kali pertama terbabit dengan penagihan dadah.

Menurutnya, suspek, mendakwa mendapatkan bekalan dadah jenis pil ecstasy daripada rakan secara percuma.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan dan barang kes dirampas untuk tindakan serta siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 5:11 PM