Gambar hiasan
Ruwaida Md Zain


KADAR baharu tarif air Selangor akan diumumkan Jun atau Julai depan, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada tarif air di negeri ini akan naik atau sebaliknya.

“Perkara terbabit sudah dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) semalam dan ia bukan hanya membabitkan isu kenaikan tarif air semata-mata.

“Sebaliknya, kita akan mengumumkannya secara pakej keseluruhan bagaimana menangani apa yang dikatakan tarif dan juga isu berkaitan, termasuk air percuma serta kempen penjimatan air.

“Justeru, dalam bulan Jun atau Julai, kita akan umumkan secara keseluruhan yang mana ia akan memberi kesan langsung terhadap industri air di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program ‘Jelajah Maju Bersama ke daerah Kuala Langat’ di Masjid At-Taqwa, Banting hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar mengesahkan rancangan untuk menaikkan tarif air bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan bekalan kepada pengguna mendapat persetujuan enam negeri.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, kerajaan negeri sudah membuat permohonan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menaik taraf Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) kepada majlis perbandaran.

“Permohonan ini diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). MDKL mencatatkan beberapa pencapaian yang bagus dan kita berharap KPKT akan menaikkan penarafan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 5:43 PM