ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) menunjukkan antara barangan yang dirampas daripada suspek di kawasan perairan Batu 3 di Tawau. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming


PASUKAN Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan juragan warga Indonesia menyeludup masuk produk kesihatan terlarang melalui kawasan perairan Batu 3, dekat Tawau, malam tadi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, ia susulan maklumat Unit Risikan Marin (URM) yang mengesan sebuah bot jongkong dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu pada 8.25 malam.

Berikutan itu katanya, sepasukan anggota dari Unit Gempur Marin (UNGERIN) yang sedang menjalankan rondaan digerakkan ke lokasi sebelum berjaya menahan bot jongkong berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas bot jongkong tempatan itu mendapati seorang lelaki (juragan) pemegang pasport Indonesia berumur 38 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui 1,843 kotak barangan kesihatan terlarang iaitu V-C Injection Chatuchak Bangkok, yang kesemuanya berjumlah 18,430 botol kecil berisi 2 mililiter (ml) setiap satu (botol),” katanya, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, selain itu turut ditemui 10 unit tong gas petroleum cecair (LPG) dan 20 kotak minyak masak berjenama yang masing-masing mengandungi 17 paket 1 kilogram (kg).

Beliau berkata, suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan pemilikan semua barangan itu.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot jongkong dianggarkan berjumlah RM149,850 dan kes disiasat di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 8:49 AM