Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid


PERATUSAN keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini mencatatkan jumlah tertinggi berbanding enam PRK sebelum ini walaupun pusat pengundian belum ditutup sehingga jam 5.30 petang ini.

Statistik peratusan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat jam 4 petang menyaksikan 74 peratus daripada 20,793 pengundi biasa keluar mengundi.

Ia memadam rekod peratusan mengundi tertinggi 73.35 peratus di PRK DUN Semenyih, 2 Mac lalu.

Jumlah peratusan keluar mengundi itu akan meningkat sehingga semua 53 saluran di 14 pusat pengundian ditutup 5.30 petang ini.

PRK DUN Rantau adalah PRK ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, dengan pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) Parlimen Cameron Highlands (26 Januari) dan DUN Semenyih (2 Mac).

PRK DUN Sungai Kandis sebelum ini hanya mencatatkan 49.4 peratus keluar mengundi diikuti Balakong (43) dan Seri Setia 44 peratus.

PRK Parlimen Port Dickson yang menyaksikan kemenangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mencatatkan 58.3 peratus keluar mengundi sementara PRK Parlimen Cameron Highlands, 68.79 peratus.

SPR sebelum ini meletakkan sasaran 70 peratus pengundi keluar menunaikan kewajipan bagi setiap PRK yang diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 5:25 PM
Suasana di Sekolah Kebangsaan Nyatoh, Rantau pada hari pengundian hari ini. FOTO Adzlan Sidek