Anwar menyifatkan kekalahan PH di Rantau peringatan buat PH. Foto Saifullizan Tamadi
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


“KEKALAHAN ini peringatan kepada pimpinan PH (Pakatan Harapan) untuk terus memberi perhatian sewajarnya terhadap kebimbangan rakyat berhubung isu ekonomi dan kos sara hidup,” kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini adalah keputusan rakyat.

“PH dan Keadilan menghormati keputusan itu dan mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohamad Hasan,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.

Mohamad, 62, yang mewakili Barisan Nasional (BN) menewaskan calon PH Dr S Streram, 64, dengan majoriti 4,510 undi.

Kemenangan Mohamad atau sinonim dengan panggilan Tok Mat menidakkan hasrat dua calon bebas iaitu Mohd Nor Yassin, 67, dan R Malarvizhi, 51.

Dalam persaingan empat penjuru itu, Mohamad memperoleh 10,397 undi manakala Dr Streram 5,887 undi.

Mohd Nor dan Malarvizhi masing-masing mendapat 79 dan 83 undi.

Dalam pada itu, Anwar melahirkan keyakinan PH akan kembali bangkit mendapat sokongan rakyat selepas ini.

“Terima kasih juga kepada jentera Keadilan serta parti komponen PH yang lain kerana berjaya menunjukkan kematangan dan contoh baik ketika sesi kempen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 9:51 PM