CALON PH, Streram (Gambar Arkib NSTP). FOTO Adzlan Sidek
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid


PAKAR bius, Dr S Streram menganggap kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di luar jangkaannya.

Calon Pakatan Harapan (PH) berusia 64 tahun itu mengakui lawannya Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili Barisan Nasional (BN) bukan 'calang-calang' nama untuk ditewaskan.

“Saya tidak sangka tewas dengan majoriti undi yang besar kerana jangkaan ketika kempen menunjukkan sokongan pengundi, terutama kaum India dan Cina sudah meningkat.

“Kalah dan menang adat pertandingan tapi sedih kerana kalah, namun akan terus berkhidmat di Rantau,” katanya kepada media di Bandar Sri Sendayan, Rembau malam ini.

Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau itu memperoleh 5,887 undi berbanding Mohamad mendapat 10,397 undi.

“Saya puas hati kerana dapat bertanding dan mencabar beliau (Mohamad). Saya terima kekalahan ini,” katanya.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum menghubunginya susulan kekalahan beliau pada PRK ini tetapi ia akan dibincangkan di peringkat tertinggi parti.

“Saya mahu bercuti sebelum kembali untuk berkhidmat di Rantau. Malam ini saya akan meraikan ulang tahun perkahwinan saya yang ke 34 tahun dengan isteri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 9:52 PM