KEYAKINAN pendeposit Tabung Haji kekal utuh.
BERNAMA

JUMLAH deposit yang diterima oleh Lembaga Tabung Haji (TH) masih menunjukkan angka positif.

Ini kerana keyakinan pendeposit tetap kekal utuh walaupun institusi itu mengumumkan hibah yang rendah bagi 2018.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, prospek TH yang cerah, tadbir urus lebih baik, tiada aset kurang berdaya saing serta jaminan kerajaan antara faktor menyokong keyakinan pendeposit untuk terus kekal melabur dalam TH.

Selain itu, katanya, kawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang bermula pada tahun ini bagi menambah baik tadbir urus organisasi itu juga dilihat berjaya mendorong pendeposit terus kekal bersama TH di samping dapat menarik minat pendeposit baru.

“Kita mahu meningkatkan tadbir urus dan menerapkan amalan terbaik yang dicadangkan oleh Bank Negara terutama dalam bahagian pengurusan risiko dan tadbir urus.

“Semuanya dalam keadaan stabil dan tiada pengeluaran luar biasa. Situasi yang buruk sudah berakhir,” katanya kepada Bernama semasa lawatan beliau ke ibu pejabat pertubuhan berita nasional itu, baru-baru ini.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2018, TH mencatatkan jurang defisit (jumlah tanggungan melebihi jumlah aset) yang tinggi sebanyak RM10.9 bilion, meningkat daripada RM4.1 bilion yang direkodkan pada 31 Disember 2017.

Dalam usaha mengembalikan kedudukan kewangan yang lebih seimbang, TH menjalankan satu program pemulihan dan penyusunan semula aset tidak berdaya saing (ekuiti dan hartanah) yang mempunyai jumlah nilai semasa RM9.7 bilion.

Aset berkenaan sudah dipindahkan ke syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd pada harga RM19.9 billion dalam bentuk dua sukuk yang masing-masing bernilai RM10 bilion dan RM9.6 bilion dengan pulangan sebanyak 4.05 peratus dan 4.1 peratus (RM800 juta setahun).

Hasilnya, TH berjaya memperoleh lebihan aset sebanyak RM1 bilion selepas mencatatkan jumlah aset RM76.5 bilion berbanding jumlah tanggungan RM75.5 bilion.

Ini sekali gus membolehkan TH memberi agihan hibah sebanyak 1.25 peratus yang membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendepositnya bagi tahun kewangan 2018.

Zukri berkata, baki sebanyak RM87 juta sudah dimasukkan ke dalam satu akaun rizab yang baru diwujudkan, Hibah Equalisation Reserve sebagai langkah berhati-hati TH dalam menghadapi situasi kecemasan pada masa hadapan.

“Jika kemudian nanti kami kurang keuntungan, (kami boleh menggunakan) akaun ini kerana ia boleh diagihkan. Kami akan mengekalkannya dalam bentuk cair.

“Tiada amaun tetap buat masa ini tetapi kami akan membentuk dasar yang mana kami menyasarkan peruntukan dua hingga tiga peratus. Biarlah lembaga yang membuat keputusan kemudian nanti,” jelasnya.

Zukri memberi jaminan tiada pengumuman mengejut akan dilakukan selepas ini kerana semua peruntukan rosot nilai sebanyak RM1.5 bilion terhadap pelaburan sudah dibuat tahun lalu.

Katanya, laporan kewangan berkala setiap suku tahun akan dibuat bagi memastikan pendeposit dapat mengetahui prestasi kewangan dan operasi TH dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti.

“Lembaran imbangan TH kini terdiri daripada aset yang sangat baik. Masa depan Tabung Haji sudah cerah dan tidak membuat kesilapan sekali lagi.

“Seharusnya kami berkedudukan lebih baik untuk membayar hibah yang kompetitif bagi 2019 dan tahun seterusnya. Saya optimis ia akan lebih daripada 1.25 peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 11:49 AM