PECAH masuk melalui tingkap dapur. FOTO/ Abnor Hamizam Abd Manap
PECAH masuk melalui tingkap dapur. FOTO/ Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


“JIKA sesiapa membeli komputer riba yang dijual perompak, tolong beritahu dan saya akan beli semula.

“Komputer itu sangat bernilai kerana dibeli secara kongsi tiga anak gunakan wang simpanan mereka,” kata Ruzila Adam, 38, penduduk Felda Pasoh Tiga, Jempol, yang menceritakan kejadian rumahnya dimasuki penjenayah kelmarin.

Ruzila berkata, dalam kejadian jam 3 pagi itu, penjenayah turut melarikan wang tunai RM300 dan satu tong gas dari dapurnya.

Kejadian disedari ibunya sebaik bangun daripada tidur jam 4.30 pagi dan mendapati tingkap rumah terbuka sebelum mengejutkan ahli keluarganya.

“Kami bernasih baik kerana penjenayah tidak mengapa-apakan suami, ibu dan tiga anak. Penjenayah memasuki rumah dengan memotong jeriji tingkap dapur,” katanya.

Menurut Ruzila, menyedihkan baginya apabila komputer yang diambil milik tiga anak yang dibeli pada 2012 secara berkongsi wang.

“Komputer itu memiliki banyak kenangan dan menyimpan banyak foto keluarga,” katanya yang sudi membeli semula komputer riba berkenaan.

Sehubungan itu, suami mangsa membuat laporan di Balai Polis Batu Kikir, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim yang dihubungi, mengesahkan laporan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Katanya, selain rumah wanita itu, suspek memecah masuk sebuah lagi kediaman jiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 3:24 PM