TERTUDUH didakwa menyamar sebagai pegawai JKM untuk memberi bantuan perumahan. FOTO/ Ihsan Pembaca
Muhamaad Razis Ismail


PENIAGA dalam talian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini terhadap tuduhan memperdaya seorang wanita dengan menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bulan lalu.

Tertuduh, Ellysuhana Mustapha, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izzudin Mohd Shukri.

Difahamkan, ini kali kedua tertuduh dihadapkan ke mahkamah selepas didakwa memperdaya seorang ibu tunggal hingga mangsa menyerahkan barangan kemas bernilai RM11,000, bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Saiyidah Maidin, 56, secara samaran sebagai pegawai JKM untuk memberi bantuan perumahan sebelum mangsa menyerahkan dua gelang emas.

Kesalahan dilakukan di Kampung Serendah, Ketereh jam 1.30 tengah hari, 13 Mac 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Gayathri Sambath manakala tertuduh diwakili peguam Nik Nasrun Nazmi Nik Mohamad.

Terdahulu, Gayathri menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Nik Nasrun memohon jaminan minimum dengan mengambil kira latar belakang keluarga anak guamnya yang perlu menyara tiga anak yang masih kecil.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 April ini untuk serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 4:07 PM