BOT dinaiki empat nelayan yang dilaporkan hilang. FOTO IHSAN APMM
Iskandar Shah Mohamed


EMPAT nelayan tempatan termasuk dua beradik dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan kira-kira 0.3 batu nautika dari selatan Tanjung Mahang, Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, semalam, bot gentian kaca berkenaan dinaiki Mohd Faisol Romle, 38, dan adiknya, Muhammad Firdaus, 25, selain Mohd Amirul Adli Khairi, 25, dan seorang lagi hanya dikenali sebagai Nazaruddin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, seorang daripada mangsa dikatakan menghubungi rakannya untuk meminta bantuan berikutan bot gagal dihidupkan akibat masalah kerosakan bateri berdekatan boya merah putih di lokasi berkenaan.

“Rakan mangsa bersama dua lagi rakan kemudian cuba menjejaki mereka di lokasi terakhir dinyatakan melalui aplikasi WhatsApp, namun bot berwarna putih itu gagal ditemui.

“Selain itu, telefon bimbit mangsa turut gagal dihubungi sebelum kami menerima laporan pada 9.40 malam tadi dan mengaktifkan operasi Carilamat,” katanya, hari ini.

Menurut beliau, aset APMM negeri digerakkan pada jam 10.30 malam tadi bagi memulakan pencarian bot mangsa.

“Bot malang ini sepatutnya tiba di jeti Sungai Kembong, Pulau Indah.

“Namun, operasi Carilamat yang dijalankan dalam jarak radius lima batu nautika belum membawa kepada sebarang penemuan,” katanya.

Menurut Mohammad Rosli, pihaknya menyambung semula operasi Carilamat pagi ini yang turut disertai Pasukan Polis Marin (PPM) dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBPM) Pelabuhan Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 12:36 PM