Anggota bomba menyelamatkan lembu jantan yang terperangkap dalam parit berlumpur semalam. FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my


ANGGOTA bomba menyelamatkan lembu jantan yang terperangkap dalam parit berlumpur di Parit Enam, Kampung Sungai Labu, Sekinchan semalam.

Haiwan itu dikatakan terjatuh ke dalam parit sedalam satu meter 12 tengah hari.

Difahamkan, lembu terbabit terperangkap enam jam sebelum disedari pemiliknya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan Mohd Syafarin Jais berkata, sepasukan 10 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan 6.41 petang.

“Setibanya di lokasi, haiwan itu didapati masih tersekat dalam parit dan berada dalam keadaan lemah.

“Anggota bertindak menggunakan paip bomba menarik keluar lembu itu dalam masa 10 minit,” katanya.

Menurutnya, pemilik lembu sebelum itu cuba menyelamatkan haiwan ternakannya namun menemui jalan buntu dan bertindak menghubungi bomba untuk tindakan lanjut.

Mohd Syafarin berkata, haiwan 300 kilogram itu tidak mengalami kecederaan dan diserahkan semula kepada pemiliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 5:12 PM