RUDY ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Mohd Azam Shah Yaacob


EMPAT lelaki dan dua wanita warga Nigeria terbabit dalam pergaduhan di Jalan Changkat, Bukit Bintang pada 8 April lalu sudah ditahan polis.

Enam suspek berkenaan berusia 25 tahun hingga 35 tahun ditahan pada Sabtu lalu sekitar jam 10.30 malam sehingga jam 2 pagi di beberapa lokasi sekitar Cyberjaya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan tiga laporan dibuat mangsa yang cedera dalam pergaduhan yang berlaku kira-kira 1 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati pergaduhan akibat salah faham di kalangan mereka dan tidak membabitkan unsur kongsi gelap.

“Pergaduhan pada 8 April lalu itu membabitkan tiga kumpulan pengunjung sebuah kelab malam yang datang untuk berhibur.

“Namun, berlaku pertelingkahan hingga menyebabkan tercetusnya pergaduhan di luar pusat hiburan terbabit,” katanya ketika ditemui di IPD Dang Wangi, hari ini.

Rudy berkata, dalam pergaduhan itu, tiga lelaki Nigeria cedera apabila ditetak serta dikelar dengan senjata tajam seperti parang, pisau dan pecahan botol kaca.

“Pada awalnya, polis mendapat maklumat seorang lelaki warga Nigeria cedera diserang sekumpulan lelaki dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Namun, siasatan dijalankan kemudian mendapati bahawa terdapat dua lagi mangsa turut cedera ditetak dan dirawat di hospital sama,” katanya.

Menurut Rudy, kesemua warga Nigeria berkenaan tidak mempunyai dokumen sah untuk berada di negara ini dan tidak mempunyai kerja tetap.

Katanya, kes disiasat mengikut Sekyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh selain suspek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Suspek kini ditahan selama 14 hari bermula hari tangkapan mengikut Akta Imigresen berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 10:12 PM