NIK Rahimah (kiri) menunjukkan kain klekang pernah dihasilkannya di Taman Uda Murni, Kota Bharu. FOTO Syaherah Mustafa.
Syaherah Mustafa


RAMAI dalam kalangan masyarakat kurang tahu kewujudan kain klekang kerana ia hanya digunakan golongan bangsawan dan kerabat diraja.

Kain klekang adalah sejenis selendang ditenun tangan menggunakan benang perak, emas atau gangsa.

Penenun tunggal kain klekang di Kelantan, Nik Rahimah Nik Idris, 78, berkata, dia menenun kain klekang sejak lebih 60 tahun lalu.

Katanya, dia mendapat kemahiran menenun kain klekang daripada arwah nenek sejak berusia 15 tahun dan ia diwarisi keluarganya dari zaman berzaman.

“Kain klekang dipercayai wujud sejak ratusan tahun dahulu dan dipakai sebagai selendang di bahu golongan kerabat diraja kerana harga mahal selain pembuatannya eksklusif dan memerlukan ketelitian.

“Malah, harganya mencecah RM3,000 dan saya pernah menghasilkan kain klekang berharga RM12,000 sehelai. Kain klekang berukuran satu meter dengan corak bunga benang perak dapat disiapkan dalam masa sebulan.

“Saya pernah menenun kain klekang untuk kerabat diraja Kelantan,” ” katanya yang kini menetap di Kuala Lumpur.

Katanya, kain klekang akan membuatkan si pemakai berseri dan ia dipercayai dapat menaikkan seri wajah pemakai.

Menurutnya, ramai anak muda yang tidak ada kesabaran untuk belajar membuat kain klekang kerana prosesnya rumit selain perlu dijahit tangan tanpa menggunakan mesin berteknologi tinggi.

“Pembuat kain klekang perlu memastikan tangan mereka bersih daripada sebarang kekotoran atau peluh kerana boleh menyebabkan kain bertukar menjadi biru.

“Antara corak ditenun di atas kain klekang seperti bunga ros, kekwa, bunga tanjung dan bunga campuran berdasarkan ilham penenun.

“Kain ini hanya pakaian diraja yang bukan dipakai di sebarangan tempat, malah memerlukan penjagaan baik serta cara lipatan betul,” katanya.

Dia turut meluahkan rasa bersyukur kerana ilmu menenun kain klekang ini sempat diajar kepada cucu saudara, Nik Marhammah Nik Megat, 45, yang berminat untuk mempelajarinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 1:11 AM