EMPAT pemancing yang hilang selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan di Tanjung Mahang, Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang. FOTO Ihsan Bomba
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


EMPAT lelaki, termasuk dua beradik yang hilang ketika merawai ikan di selatan Tanjung Mahang, Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang, kelmarin bersyukur terselamat selepas lebih 48 jam dihanyutkan di tengah laut.

Mangsa, Nazaruddin Isa, 48, berkata ketika kejadian dia bersama tiga mangsa lain baru saja merawai ikan di kawasan itu, kira-kira 6 pagi.

Bagaimanapun, katanya, selepas mencuba beberapa kali menghidupkan enjin bot, ia masih tidak berfungsi baterinya sudah lemah.

“Saya menghubungi rakan yang juga pemilik bot melalui telefon bimbit dan dia mengarahkan kami keluar daripada kawasan laluan kapal.

“Kami kemudian mengikuti arahan itu dan menghantar lokasi kami melabuhkan sauh sementara menunggu bantuan tiba,” katanya kepada Harian Metro.

Turut berada dalam bot gentian kaca itu adalah Mohd Faisol Romle, 38, dan adiknya, Muhammad Firdaus, 25, serta Mohd Amirul Adli Khairi, 25.

Kata Nazaruddin, dia cuba menghubungi semula rakannya itu, namun gagal berikutan tiada rangkaian talian di kawasan itu.

“Kami menunggu bantuan tiba sehingga petang, namun bantuan tidak muncul tiba sebelum menarik sauh dan membiarkan bot hanyut sendiri.

“Memang ada lebih lima bot yang melalui kawasan itu, namun mereka tidak nampak kami,” katanya.

Menurutnya, mereka hanya bergantung dengan bekalan keropok dan air mineral yang dibawa sepanjang berada dalam bot itu.

“Kami hanya berserah kepada Allah sementara menunggu bantuan tiba.

“Alhamdulillah, kami ternampak sebuah bot nelayan lebih kurang 5 petang semalam dan dibawa ke Pulau Ketam untuk membeli bateri lalu pulang ke Jeti Sungai Kembong,” katanya.

Sementara itu, Mohd Faisol berkata, dia tidak mengingati apa-apa berkaitan kejadian itu berikutan mabuk laut.

“Saya habiskan masa dengan tidur kerana mabuk laut. Alhamdulillah, kami bersyukur kerana pulang dengan selamat,” katanya.

Empat lelaki itu ditemui pulang dalam keadaan selamat selepas tiba di pos kawalan pencarian di Jeti Sungai Kembong di Pelabuhan Klang, 8 malam tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) melaksanakan operasi pencarian mangsa sejak kelmarin.

Berita berkaitan

[UPDATE] Alhamdulillah, empat pemancing selamat

Operasi cari empat lelaki hilang sambung esok

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 6:12 PM