ORANG Asli di Pos Tohoi, Shariff Calil, 21, (kiri), mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JHEAIK), Dr Hasnan Ramli sempena Kembara Ilmu 'aku dihati' selama tiga hari di Surau Pos Tohoi anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan dan dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Mohamad. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

“SELEPAS mengucap dua kalimah syahadah, hati saya berasa cukup tenang.”

Demikian kata Shariff Calil, 21, seorang daripada 13 Orang Asli di Pos Tohoi di Gua Musang yang memeluk Islam di hadapan Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JHEAIK), Dr Hasnan Ramli sempena program Kembara Ilmu ‘Aku Di Hati’ selama tiga hari berakhir hari ini.

Program dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Mohamad.

Pelbagai pengisian program anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan dijalankan termasuk kursus pengurusan jenazah di Surau Pos Tohoi di sini.

Shariff berkata, dia sudah lama berhasrat untuk memeluk Islam kerana menganggap agama itu lebih menjamin kehidupan dunia dan akhirat.

“Semua ahli keluarga dan rakan sudah lama memeluk Islam dan hari ini giliran saya pula.

“Selepas mengucap dua kalimah syahadah fikiran serta hati bertambah tenang.

“Antara perkara pertama saya belajar selepas memeluk Islam adalah mengenai pengurusan jenazah yang akan saya gunakan untuk membantu masyarakat Orang Asli di sini,” katanya.

Angah Jabal, 29, pula mengakui dirinya tidak dipaksa mana-mana pihak termasuk ahli keluarga sendiri untuk memeluk Islam.

“Saya lakukan ini atas kerelaan hati selepas tertarik dengan Islam.

“Saya juga akan mendalami agama itu dengan belajar mengaji al-Quran untuk lebih memahami Islam “katanya.

Bagi wanita Orang Asli, Asbi Atam, 45, sudah empat kali dia mengikuti kursus pengurusan jenazah.

“Kursus seperti ini penting supaya saya lebih mahir dengan pengurusan jenazah wanita Orang Asli di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 9:23 AM