PASUKAN Polis Marin (PPM) tahan pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika cuba menyusup masuk melalui kawasan perairan Singamata, 12.30 tengahari semalam di Semporna. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming
cnews@nstp.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) berjaya menggagalkan cubaan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke Semporna melalui kawasan laut Singamata, dekat Semporna, semalam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, semua imigran warga Filipina yang menaiki bot jenis tempel itu dikesan melalui operasi ‘Ops Gelora Khas’ di kawasan berkenaan pada 12.30 tengah hari.

Katanya, anggota Unit Gempur Marin (UNGERIN) bersama anggota bot tempur RH46 kemudiannya berjaya memintas dan menahan bot yang dikendalikan lelaki Palauh bersama pembantunya masing-masing berumur 40 dan 20 tahun.

“Pemeriksaan terhadap bot itu mendapati lima lelaki dan tiga wanita serta dua kanak-kanak perempuan berumur dalam lingkungan lima hingga 65 tahun dipercayai berasal dari Bongao, Filipina,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, siasatan lanjut yang dijalankan mendapati semua PATI berkenaan mengaku membayar sebanyak 2,500 Peso Filipina (RM199) sebagai bayaran untuk menyusup masuk ke Semporna.

Katanya, pemeriksaan terhadap juragan bot turut menemui mata wang Peso Filipina selain barangan peribadi yang disimpan dalam ruangan bot tempel berkenaan.

“Semua mereka ditangkap termasuk juragan bersama pembantunya selain bot dan tiga unit enjin pam bernilai RM10,863 turut disita.

“Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Pindaan 2010) dan Akta Imigressen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 9:43 AM