LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


KANAK-KANAK lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di flat di Bandar Seri Putra, Kajang, kelmarin, dikatakan dilihat orang awam di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Mangsa, Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, atau lebih mesra dengan panggilan Zahir dikatakan keluar dari rumahnya kira-kira 8 pagi, kelmarin, untuk bermain.

Ibu mangsa, Sainih Sunding, 46, berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu didakwa dilihat oleh pemandu teksi wanita ketika dia mahu memasuki tandas awam di sekitar Bandar Tasik Selatan, malam kelmarin.

“Saya mendapat maklumat mengenai kanak-kanak seiras Zahir dilihat di tandas awam di sekitar Bandar Tasik Selatan oleh pemandu teksi wanita melalui info di Facebook. Menurut maklumat itu, Zahir dikatakan cuba masuk ke dalam tandas wanita sebelum ditegur oleh pemandu teksi terbabit.

“Difahamkan, pemandu teksi itu tidak mengesyaki sesuatu pelik mengenai kanak-kanak berkenaan yang kemudian menghilangkan diri sebelum ternampak maklumat mengenai kehilangan Zahir yang dilihat seperti kanak-kanak lelaki ditemui di tandas terbabit.

“Bagaimanapun, saya tidak tahu kesahihan maklumat itu kerana belum ada perkembangan terbaru dimaklumkan mana-mana pihak kepada kami,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sainih yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, dia keluar rumah seawal 7 pagi hari ini bagi meneruskan pencarian anak lelakinya itu di kawasan sekitar Bandar Seri Putra.

“Saya keluar mencari Zahir berseorangan hari ini dengan menaiki bas dari Bandar Seri Putra ke Bandar Bukit Mahkota, Bangi hingga ke Nilai, Negeri Sembilan.

“Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang jejak Zahir di lokasi ini. Saya memohon bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Zahir supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, difahamkan sepasukan anggota polis dari Unit Anjing Pengesan (K9) akan dihantar ke sungai berhampiran rumah mangsa bagi mengesan jejak kanak-kanak berkenaan.

Semalam, Harian Metro melaporkan kehilangan Zahir disedari ibunya sebaik pulang dari tempat kerja kira-kira 7 malam kelmarin.

Berita berkaitan

Zahir di mana?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 11:51 AM