AADK ketika melakukan serbuan di rumah dalam Ops Cegah di Kota Kinabalu. FOTO Junaidi Ladjana
Junaidi Ladjana


SEORANG nenek bukan sahaja menjadikan rumahnya sebagai ‘port’ melepaskan gian dadah bersama rakan dan jirannya, malah turut sama menghisap syabu di hadapan cucu perempuannya berusia 15 tahun.

Kegiatan nenek berusia 57 tahun itu akhirnya terbongkar apabila rumahnya di Kepayan, Kota Kinabalu, diserbu anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kota Kinabalu kira-kira jam 1 pagi tadi.

Lebih mengejut, ketika serbuan, nenek bersama wanita berusia 27 dan dua lelaki masing-masing berusia 20-an sedang menghisap syabu di bilik tidur di dalam bilik dihuni cucunya.

Ketua AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, pihaknya menemui beberapa peralatan menghisap dadah di dalam bilik rumah berkenaan.

“Nenek bersama tiga jiran ini ditahan ketika sedang leka menghisap dadah di dalam bilik tidur.

“Ujian saringan air kencing mendapati semua mereka positif dadah jenis syabu,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, dalam operasi sama, penguat kuasa turut menahan pasangan suami isteri berusia 40-an di sebuah taman perumahan di Penampang.

“Ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis syabu.

“Semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Terdahulu, operasi bermula jam 9 malam hingga 2 pagi disertai 10 anggota AADK Kota Kinabalu turut menjalankan pemeriksaan di dua pusat hiburan di Penampang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 12:12 PM