Kebakaran di premis menjual kenderaan terpakai hari ini. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


ENAM belas kenderaan di sebuah premis menjual kenderaan terpakai di Dataran Segar, Port Dickson musnah dalam kebakaran hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd Hairul Izam Mazelan berkata, bomba menerima panggilan 1.27 pagi sebelum sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, pihaknya turut mendapat bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Seremban serta Seremban 2 dengan 24 anggota.

“Sebaik tiba, api sedang marak dan bomba mengambil masa 30 minit untuk mengawal dan memadamkan kebakaran sepenuhnya.

“Kebakaran itu mengakibatkan 16 kenderaan terpakai yang diletakkan di premis berkenaan musnah manakala 36 kenderaan lain dapat diselamatkan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Hairul Izam berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 4:26 PM