Gambar Hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin


SEORANG wanita mengaku tidak sempat mendapatkan bayaran sewa yang dikenakan terhadap pasangannya, selepas mereka dicekup berkhalwat di bilik sebuah chalet di Bukit Kor, Marang, 16 April lalu.

Gadis berusia 19 tahun itu dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Rendah Syariah Marang, hari ini, selepas mengaku salah terhadap pertuduhan berkhalwat dengan pasangannya berusia 22 tahun.

Hakim Syarie, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof turut mengenakan hukuman penjara tambahan enam bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda.

Tertuduh yang pernah dihantar ke Pusat Pemulihan Wanita di Sabak Bernam, Selangor, pada 2017 selama enam bulan atas kesalahan sama, gagal menjelaskan denda berkenaan dan terpaksa menjalani hukuman penjara keseluruhan 12 bulan di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, kerana perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Mengikut pertuduhan, remaja berasal dari Ajil, Kuala Berang itu bersama pasangannya yang bekerja pendawaian elektrik dari Kampung Tebakang, Bukit Payong, Marang, didakwa berkhalwat di dalam bilik chalet di Bukit Kor, 10.35 malam pada 16 April lalu.

Sepasukan penguat kuasa Pejabat Agama yang menerima maklumat membuat serbuan ke lokasi berkenaan sebelum mendapati pintu bilik utama terbuka sedikit dan memberi salam lalu membuka pintu.

Pasukan penguat kuasa kemudian memperkenalkan diri dan ternampak seorang perempuan memakai baju ‘blouse’ dan tuala dan lelaki yang hanya memakai seluar jeans tanpa berbaju.

Pemeriksaan lanjut mendapati hanya mereka berdua di bilik berkenaan dan hasil soal siasat, kedua-dua mereka mengaku bukan suami isteri yang sah.

Sementara itu, ketika rayuan mengurangkan hukuman, tertuduh yang memohon dihantar ke pusat perlindungan wanita mengaku disewa oleh pasangannya itu, namun tidak sempat menerima bayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 8:25 PM