GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Siti A'isyah Sukaimi


GARA-GARA tertidur di dalam bas selepas menyertai raptai hari sukan, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan 'hilang' dalam tempoh beberapa jam lalu.

Kejadian disedari pada 4.50 petang di tadika di Putrajaya, sewaktu ibu kanak-kanak terbabit mahu menjemputnya pulang.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, sebelum itu kanak-kanak terbabit dibawa pihak tadika ke Padang Agrobank, Bangi kerana menyertai raptai hari sukan tadika.

Beliau berkata, pihak tadika sudah membuat pemeriksaan di sekitar tadika itu, namun kanak-kanak itu tidak dijumpai.

“Susulan itu, pegawai penyiasat dan detektif hadir ke tadika berkenaan untuk melakukan siasatan.

“Tiada kamera litar tertutup (CCTV) di tadika itu dan temu bual dijalankan kepada semua guru di situ.

“Dimaklumkan kanak-kanak itu terbabit dengan raptai hari sukan bersama 87 kanak-kanak lain di Pusat Latihan Agrobank Bangi manakala pergerakan semua kanak-kanak menggunakan tiga bas sekolah sewa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua murid diiringi 11 guru dan bas yang dinaiki kanak-kanak itu diiringi tiga guru.

Katanya, hasil temu bual mendapati guru pengiring ada membuat semakan kanak-kanak sebelum pulang selain pemeriksaan di kawasan raptai dan mendapati jumlah mereka cukup.

“Guru pengiring ada membuat semakan jumlah kanak-kanak di dalam bas semasa perjalanan balik dan mendapati jumlahnya cukup, namun sebaik tiba di tadika, tiada semakan dibuat terhadap jumlah kanak-kanak yang keluar dari bas dan mereka diarahkan masuk ke dalam kelas masing-masing.

“Pada 3.20 petang, seorang guru kelas menyedari kanak-kanak lelaki itu tiada di dalam kelas, namun beg sekolah dan tilamnya masih berada di dalam kelas dan guru menyangkakan dia sudah dijemput ibu bapanya," katanya.

Rosly berkata, pada 7.05 malam, pemilik tadika menghubungi pemandu bas dan pemeriksaan di dalam bas mendapati terdapat seorang kanak-kanak sedang tidur di kerusi bas.

Beliau berkata, pasukan siasatan kemudian ke rumah pemandu bas itu di Cheras untuk mengambil kanak-kanak itu dan sampai di lokasi, disahkan kanak-kanak yang ada dalam bas adalah kanak-kanak yang hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 10:59 PM
Digital NSTP Subscribe