SEBAHAGIAN 68 pelajar sebelum berlepas ke KLIA.
SEBAHAGIAN 68 pelajar sebelum berlepas ke KLIA.
Nur Izzati Mohamad


KEPALA BATAS: Pertama kali terpaksa berpuasa jauh daripada keluarga bukan penghalang sekumpulan pelajar di Pulau Pinang yang akan melanjutkan pengajian mereka di Universiti Al Azhar, Mesir.

Walaupun sedih mengenangkan ketibaan Ramadan tidak lama lagi, mereka tetap teruja untuk menambah ilmu agama di pusat pengajian terulung.

Muhammad Amirul Aiman Khairul Anuar, 19, berkata, dia yang tidak langsung memasang niat menyambung pengajian ke luar negara mahu menggunakan peluang yang diberikan untuk kembali menabur khidmat kepada masyarakat.

“Terus terang, pada mulanya saya tiada langsung niat menyambung pengajian di Universiti Al Azhar ini.

“Selepas mendapat keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), saya mendapat tawaran belajar yang tidak akan saya sia-siakan,” katanya.

Seramai 68 pelajar di negeri ini berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Mesir.

Dalam pada itu, Muhammad Amirul berkata, dia yang akan mengikuti pengajian dalam bidang Usuluddin pertama kali berpuasa jauh daripada keluarganya.

 IBU bapa menghantar anak mereka di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas sebelum ke Mesir.
IBU bapa menghantar anak mereka di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas sebelum ke Mesir.

Husna Nadirah Nordin,19, berkata, dia hampir menolak tawaran berkenaan kerana sukar untuk berjauhan dengan keluarga apatah lagi di luar negara.

“Saya memang pasang niat ke sana, tetapi ada masanya rasa susah kerana tak boleh duduk jauh daripada keluarga.

“Apabila berdoa saya temui kekuatan pada diri dan mahu meneruskan peluang yang diberikan ini demi masa depan termasuk mahu membanggakan ibu bapa,” katanya yang akan mengikuti kursus Pengajian Bahasa Arab.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam negeri, Rosli Othman berkata, semua pelajar itu akan mengikuti beberapa kursus peringkat ijazah pertama dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan Islam dan perubatan.

“Untuk permulaan, Zakat Pulau Pinang (ZPP) menyalurkan bantuan RM2,000 bagi semua pelajar mengikuti kursus di pusat pengajian bahasa selama beberapa bulan, diikuti dengan RM3,000 bagi memulakan kuliah.

“Selepas itu, apabila mereka lulus pada tahun pertama pengajian, ZPP akan menghulurkan bantuan sebanyak RM8,000 setahun untuk pelajar yang mengikuti kursus pengajian Islam manakala perubatan pula RM20,000 setahun,” katanya.

 MUHAMMAD Al-Asyii Sulaiman (tengah) menerima ucapan tahniah daripada rakannya.
MUHAMMAD Al-Asyii Sulaiman (tengah) menerima ucapan tahniah daripada rakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe