SUHANA bersama anak angkatnya, Nor Faqihah Amani ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Impian di Kluang, semalam.
Adnan Ibrahim


KLUANG: Sepasang suami isteri melahirkan rasa curiga berkaitan status sebenar bayi perempuan yang diterima mereka daripada seorang wanita di kedai makan di Bukit Batu, Kulai, jam 6.30 petang 21 Februari lalu.

Bayi itu didakwa lahir pada 5 Februari lalu di sebuah klinik swasta di Kuala Lumpur dan diserahkan kepada pasangan terbabit selepas membuat bayaran berjumlah RM8,000 kepada wanita bernama Nor Amirah Hamizat, 26, berasal dari Pontian, Johor.

Suhana Sulaiman, 34, berkata, wanita itu yang dikenali suaminya, Mohd Faizal Mohd Noor, 36, melalui seorang kenalan tinggal di Pekan Layang-Layang.

“Bayi itu diserahkan tanpa sebarang dokumen sebagai sokongan termasuk buku rekod kelahiran bayi serta pengesahan kelahiran dari tempat anak angkatnya itu dilahirkan,” katanya.

Lebih mengelirukan lagi apabila wanita itu mengubah status sebenar ibu kandung bayi itu daripada nama Mudmainnah, 26, kepada Sunarti Imrah, 33.

“Maklumat mengelirukan itu menyukarkan kami membuat sebarang dokumen. Akibatnya kami keliru siapa sebenarnya ibu kandung kepada anak angkat kami ini.

“Malah, bayi ini diserahkan tanpa nama walaupun sudah 15 hari dilahirkan.

“Manakala nama yang digunakan sekarang adalah selepas kami membuat pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) namun terpaksa diletakkan sebagai bukan warganegara kerana ketiadaan sebarang dokumen berkaitan kedua ibu bapanya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Impian di sini, selepas proses mendapatkan penyerahan anak angkat yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semalam.

Menurut Suhana, tanpa sebarang dokumen serta penyerahan secara sah daripada ibu kandung kepada bayi itu menyebabkan mereka sukar membuat sebarang urusan berkaitan kebajikan serta kesihatan anak angkat mereka pada masa akan datang.

“Usaha menghubungi dua wanita warganegara Indonesia itu serta wanita yang menyerahkan bayi itu juga gagal.

“Oleh itu, kami berharap ketiga-tiga wanita iaitu, Nor Amirah, Sunarti Imrah dan Mudmainnah dapat berhubung dengan kami untuk membuat proses penyerahan anak angkat secara sah di Pejabat JKM, Kluang,” katanya.

“Mereka yang mengenali wanita terbabit diharapkan dapat menghubungi talian 014-2723131 bagi menyelesaikan isu dokumentasi bayi terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 7:30 AM