ANGGOTA polis memeriksa sebahagian bungkusan daun ketum seberat 270 kg bernilai RM8,100 yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di kuarters guru di Felda Sungai Tiang. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI ditahan polis ketika sedang leka mengisi daun ketum dalam bungkusan plastik hitam di kuarters guru Felda Sungai Tiang, di Pendang, semalam.

Suspek berusia 31 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang yang diketuai Asisten Superintendan Muhammad Amin Mat Yassin.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, lelaki itu ditahan 4.30 pagi dalam serbuan yang dilakukan pegawai dan anggotanya berdasarkan maklumat yang diterima berhubung kegiatannya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam rumah berkenaan, pihaknya merampas sejumlah bungkusan plastik lutsinar berisi daun ketum dalam 26 plastik warna hitam dan sebuah unit alat penimbang.

“Jumlah berat kasar daun ketum yang dirampas adalah 270 kilogram.

“Nilai daun ketum berkenaan dianggarkan sebanyak RM8,100 yang dipercayai untuk diedar di pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arriz Sham berkata, suspek yang berasal dari Kelantan itu sudah berkahwin dan berkerja sebagai peniaga sebelum ini, pernah memiliki rekod enam rekod jenayah berkaitan kes dadah dan ketum.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing terhadapnya mendapati dia positif dadah jenis methamphethamine.

“Dia dipercayai menjalankan kegiatan menjual daun ketum itu untuk mengaut keuntungan dengan jalan mudah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3)Akta Racun 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 9:14 AM