Mohd Husni Mohd Noor


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menjelaskan operasi mereka di JPJ Pulau Pinang tidak ‘lumpuh’ susulan penahanan 24 pegawainya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, pihaknya sudah melaksanakan beberapa langkah termasuk meminta JPJ Perak dan Kedah menghantar pegawai dan anggota ke Pulau Pinang bagi membantu operasi dan penguatkuasaan.

“Saya meminta semua cawangan JPJ negeri di utara memberi kerjasama dalam hal itu.

“Jangan anggap isu ini akan menjadi halangan atau bebanan kepada JPJ sebaliknya ia gangguan ketika bekerja saja,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.


Shaharuddin pada sidang media di Putrajaya hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Shaharuddin berkata, beliau juga mengarahkan Pengarah JPJ Pulau Pinang supaya meneruskan agenda operasi dan penguatkuasaan seperti yang sudah dirancang.

Shaharuddin berkata, sehingga semalam, JPJ Pulau Pinang masih menjalankan operasi dan penguatkuasaan seperti biasa.

Menurutnya, seramai 457 anggota dan pegawai ditempatkan di JPJ Pulau Pinang dengan 139 daripadanya adalah anggota penguat kuasa.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya akur dengan penahanan anggota berkenaan dan akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM kerana ia adalah kesalahan serius.

“Saya ingin memberi amaran bahawa tiada tolak ansur dalam isu rasuah, salah guna kuasa dan isu integriti dalam jabatan ini malah kami tidak akan mempertahankannya sebaliknya akan membantu siasatan.

“Saya mahu agensi ini bersih daripada elemen rasuah, salah guna kuasa dan isu integriti. Kalau berlaku rasuah sebegini, ia menggambarkan ketirisan hasil kerajaan. Justeru, kita kena kerja dengan jujur dan amanah,” katanya.

Mengulas mengenai penahanan 24 anggota penguat kuasa JPJ Pulau Pinang, Shaharuddin berkata, semua anggota itu akan ditahan kerja dua bulan selepas tamat reman nanti.

Menurutnya, tindakan penahanan kerja maksimum selama dua bulan itu diambil mengikut Peraturan 43, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertip) 1993.

“Penahanan kerja itu akan bermula selepas 24 penguat kuasa terbabit tamat tempoh reman pada 23 April ini dan tindakan berkenaan diambil bagi mengelak proses siasatan membabitkan kes itu terganggu.

“Selepas 24 penguat kuasa ini dibebaskan dengan jaminan SPRM, mereka akan ditahan tugas selama dua bulan mengikut Peraturan 43. Dalam tempoh penahanan kerja gaji mereka tetap dibayar,” katanya.

Semalam, seramai 30 lelaki termasuk 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang direman tujuh hari sehingga 23 April ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melindungi pemandu ‘lori kebal’ yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri itu.

Berita berkaitan

Sticker 'kebal'

24 anggota JPJ direman tujuh hari [METROTV]

Bas SPRM bawa tahanan terbakar [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 12:57 PM
Laporan portal berita Harian Metro semalam.