Raja Noraina Raja Rahim


SEBANYAK 217 kes penipuan membabitkan pinjaman tidak wujud, panggilan telefon, pembelian dalam talian dan love scam dilaporkan di Negeri Sembilan sehingga Mac tahun ini membabitkan kerugian RM2.5 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, kebanyakan kes didalangi sindiket menggunakan keldai akaun iaitu individu yang membenarkan akaun mereka digunakan bagi tujuan transaksi wang.

Beliau berkata, daripada jumlah kes itu, seramai 65 pemilik akaun atau keldai akaun sudah ditahan dan diambil tindakan berbanding 38 ditahan bagi tempoh sama tahun lalu.

“Siasatan mendapati, individu terbabit sanggup dijadikan keldai semata-mata mahu mendapatkan wang dengan cara mudah tanpa menyedari mereka sebenarnya bersubahat dengan sindiket itu.

“Mereka kebiasaannya ditawarkan bayaran tertentu bagi setiap transaksi sebagai imbuhan kerana membenarkan akaun mereka digunakan.

“Namun, ada juga individu tidak tahu akaun digunakan sindiket tetapi kebanyakannya adalah peminjam wang tanpa lesen yang membenarkan kad bank mereka dipegang pemberi pinjaman itu,” katanya pada sidang media di Pejabat JSJK negeri di Seremban, hari ini.

Aibee berkata, pemilik akaun atau keldai akaun boleh disiasat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tambahnya, polis kini sedang giat memburu 175 individu bagi membantu siasatan kes penipuan sejak 2016 hingga 2018 yang mana 60 peratus daripadanya adalah keldai akaun.

“Saya menasihatkan orang ramai tidak memberikan akaun perbankan mereka untuk digunakan pihak tertentu kerana boleh dianggap bersubahat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 2:00 PM
FOTO hiasan