STATUS yang dimuatnaik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di Twitter mengenai keadaan pemandunya yang terbabit kemalangan, hari ini. FOTO Twitter Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
STATUS yang dimuatnaik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di Twitter mengenai keadaan pemandunya yang terbabit kemalangan, hari ini. FOTO Twitter Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Norizuan Shamsuddin


PEMANDU Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, parah selepas motosikal ditunggang mangsa terbabit dalam kemalangan di Jalan Segambut Dalam, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian 8.29 pagi itu, mangsa, Abdullah Sani Said parah di bahagian kepala selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan motosikal lain ketika cuba mengelak daripada kereta yang keluar simpang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Sarifudin Mohd Salleh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sewaktu mangsa menunggang motosikal model Yamaha FZ150 dari Mont Kiara menghala ke Segambut.

“Siasatan pegawai penyiasat mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Mont Kiara bertembung dengan motosikal model Yamaha 135LC yang datang dari arah bertentangan selepas cuba mengelak daripada kereta yang keluar dari persimpangan Persiaran Prima Pelangi.

“Kejadian menyebabkan mangsa mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

“Bagaimanapun, penunggang motosikal yang bertembung dengan motosikal mangsa masih gagal dikesan dan kereta terbabit juga tidak berhenti selepas kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sarifudin berkata, meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu dapat menyalurkan kepada polis.

“Kami sudah mengenalpasti nombor pendaftaran motosikal yang bertembung dengan mangsa.

“Kami berharap pemilik motosikal model Yamaha 135LC bernombor WC 5712 C itu tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah menerusi laman Twiter, hari ini, memuatnaik status berhubung kemalangan menimpa pemandunya dan memaklumkan mangsa masih berada di zon merah HKL.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 2:01 PM