Bangunan JPJ Pulau Pinang di Seberang Jaya. FOTO Rosli Ahmad
Siti Sofia Md Nasir


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang masih menjalankan operasi penguatkuasaan seperti biasa dengan operasi terbaru malam tadi di Plaza Tol Sungai Dua, Butterworth.

Pengarah JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor berkata, pihaknya masih menjalankan penguatkuasaan dengan anggota mereka.

“Setakat ini kerja berjalan seperti biasa malah malam tadi pun kita lakukan operasi bersepadu di Plaza Tol Sungai Dua.

“Keseluruhan penguat kuasa JPJ Pulau Pinang 60 anggota,” katanya.

Mohamat Johari berkata, daripada 24 anggota JPJ negeri yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, hanya 10 anggota penguat kuasa yang terbabit dengan operasi di lapangan.

Katanya, 14 lagi adalah membabitkan kakitangan JPJ Pulau Pinang yang berkhidmat di sub unit lain seperti di Unit Pendakwaan dan Unit Komunikasi Korporat.

“Kita ambil maklum dengan kenyataan Ketua Pengarah JPJ yang mengarahkan JPJ Kedah dan Perak untuk membantu dan kita masih aturkan berapa keperluan yang perlu ditambah,” katanya.

Mahkamah Majistret semalam, membenarkan permohonan reman tujuh hari terhadap 30 individu, termasuk 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang.

Perintah reman berkuatkuasa sehingga Selasa depan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan, Nur Fadrina Zulkhairi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Kelmarin, semua suspek berusia 31 hingga 54 tahun ditahan di sekitar Pulau Pinang dalam operasi khas SPRM dari 10 pagi hingga 4 petang.

Difahamkan, 24 penguat kuasa JPJ berjawatan daripada Gred 19 hingga Gred 32 itu adalah sebahagian daripada 75 pegawai agensi itu yang dipantau SPRM ketika ini.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Tiada kompromi pegawai terbabit rasuah'

[UPDATE] 'Operasi JPJ Pulau Pinang tak lumpuh' [METROTV]

Sticker 'kebal'

24 anggota JPJ direman tujuh hari [METROTV]

Bas SPRM bawa tahanan terbakar [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 5:15 PM