APMM Terengganu menahan bot nelayan Vietnam kerana melanggar syarat lesen dan disyaki menggunakan nombor pendaftaran tempatan.FOTO Ihsan APMM


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan 24 bot nelayan Vietnam membabitkan 152 kru dan tekong dengan hasil denda diperoleh lebih RM2 juta sejak Januari hingga kini.

Ia sekali gus membuktikan agensi itu serius mengatasi isu pencerobohan nelayan asing khususnya nelayan Vietnam yang menimbulkan keresahan dalam kalangan nelayan tempatan.

Terbaru, APMM berjaya menahan sebuah lagi bot nelayan negara terbabit yang melakukan pencerobohan di perairan negeri ini, semalam.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, bot berkenaan ditahan pihaknya ketika sedang melakukan rondaan Ops Iman pada jam 11.10 pagi.

“Bot dinaiki enam awak-awak dan tekong ditahan ketika sedang melakukan tangkapan di lokasi 50 batu nautika dari muara Kuala Terengganu,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Katanya, bot nelayan itu ditahan kerana melanggar syarat lesen dan disyaki menggunakan nombor pendaftaran bot tempatan.

Beliau berkata, selain awak-awak dan tekong berusia antara 33 hingga 46 tahun, pihaknya merampas hasil tangkapan laut, diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai hampir RM1 juta.

Muhammad Suffi berkata, bot terbabit ditunda ke jeti APMM Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki memalsukan dokumen bot dan melanggar syarat lesen.

“Kita tidak teragak-agak mengenakan tindakan terhadap pengusaha atau pemilik bot yang menggunakan lesen mereka kepada nelayan asing,” katanya.

Katanya, APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran sehingga merugikan negara.

“Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 6:01 PM