YAHYA (gambar arkib NSTP). FOTO Hasriyasyah Sabudin
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


PENGAWAL keselamatan Yahya Manap, 70, yang dibelasah pelawak, Mazlan Ahmad atau Lan Pet Pet menghantar permohonan rayuan agar hukuman terhadap pelawak itu disemak semula.

Peguam yang mewakili Yahya, Ahmad Ishrakh Saad berkata, permohonan itu dibuat kerana anak guamnya tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Majistret Seremban yang mengenakan denda RM2,000 terhadap Lan Pet Pet.

Menurutnya, surat permohonan itu dihantar melalui faks kepada Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Pendakwaan Negeri Sembilan pada petang semalam.

“Anak guam saya mengalami kecederaan teruk dan terkilan dengan keputusan itu.

“Hukuman yang dikenakan ke atas tertuduh itu terlalu ringan dan tidak setimpal dengan faktor pemberatan yang wujud dalam kes itu.

“Kami meminta Timbalan Pendakwa Raya mempertimbangkan permohonan untuk memfailkan Notis Rayuan terhadap hukuman ke Mahkamah Tinggi Seremban supaya hukuman dapat ditambah,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Isnin lalu, Lan Pet Pet dijatuhi hukuman denda RM2,000 selepas mengaku bersalah memukul pengawal keselamatan di Taman Acacia Desa Jati, Nilai pada 6 April lalu.

Lan Pet Pet didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Portal berita Harian Metro pada 7 April lalu melaporkan pengawal keselamatan terbabit cedera akibat ditumbuk dan ditendang oleh pelawak terbabit di taman perumahan itu.

Berita berkaitan

'Saya mengaku bersalah'

Lan Pet Pet didenda RM2,000

Pak Ya nak saman pelawak

Tak simpan dendam [METROTV]

Pelawak belasah 'pak guard' bebas dengan jaminan

Pelawak tumbuk pengawal keselamatan ditahan

Pengawal keselamatan cedera ditumbuk pelawak [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 8:35 PM