LELAKI berkelakuan tidak senonoh di Kota Tinggi yang dikongsikan di media sosial ditahan sudah ditahan polis. FOTO Ihsan Pembaca
Oleh Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


POLIS menahan seorang lelaki hanya enam jam selepas aksi lucahnya ditularkan di media sosial Facebook (FB), hari ini.

Video berdurasi 1.29 minit itu pada awalnya memaparkan lelaki memasuki sebuah premis di Kota Tinggi dan cuba menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita di situ.

Tidak hanya itu, lelaki yang memakai topi keledar, berbaju putih dan berseluar pendek dilihat beberapa kali cuba mendekati wanita yang enggan menghampirinya.

Wanita berkenaan kemudian membuat panggilan kecemasan dan meninggalkan premis itu.

Video itu kemudiannya dimuat naik pada 11.46 pagi hari ini menerusi FB, Orang Kota-Tinggi disertakan kenyataan bertulis, “berhati-hati kepada wanita di luar sana, kejadian cubaan mencabul lokasi berlaku di sebuah deretan kedai bersebelahan JPN.”

Kenyataan itu turut bertulis, “jika ada mengenali susuk badan si penjenayah boleh hubungi 018-9094078 atau balai polis berdekatan, laporan polis sudah dibuat.”

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, pihaknya sudah menahan seorang lelaki tempatan lingkungan 50-an dalam tempoh 24 jam selepas video itu dimuat naik.

“Susulan video viral mengenai seorang lelaki dewasa berkelakuan tidak senonoh di bandar Kota Tinggi yang dikongsikan di media sosial hari ini, polis menahan individu terbabit pada 6.15 petang tadi.

“Suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahsmon berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

“Polis mengucapkan terima kasih atas pemberi maklumat sehingga membolehkan tangkapan dibuat segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 11:06 PM