Laporan dalam portal berita Harian Metro sebelum ini.
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


DUA puluh penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dijangka dipanggil memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Georgetown esok.

Sumber SPRM berkata, mereka yang bakal dipanggil bagi memberi keterangan itu terdiri daripada pegawai Gred KP22 dan KP29.

“Mereka akan dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan dalam kes melindungi pemandu lori lebih muatan.

“Kita jangka 22 kakitangan JPJ akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes itu esok,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, 23 daripada 24 penguat kuasa JPJ yang ditahan Selasa lalu sudah dibebaskan hari ini dengan jaminan.

“Hanya seorang daripada mereka masih belum dibebaskan kerana siasatan terhadapnya belum selesai.

“Saya sahkan yang kita juga akan memanggil beberapa lagi penguat kuasa JPJ untuk diambil keterangan esok,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Rabu lalu, 30 individu termasuk 24 penguat kuasa JPJ direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret untuk membantu siasatan.

Difahamkan, 24 penguat kuasa JPJ berjawatan daripada Gred 19 hingga Gred 32 itu adalah sebahagian daripada 75 pegawai agensi itu yang dipantau SPRM ketika ini.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Kerja seperti biasa'

[UPDATE] 'Tiada kompromi pegawai terbabit rasuah'

[UPDATE] 'Operasi JPJ Pulau Pinang tak lumpuh' [METROTV]

Sticker 'kebal'

24 anggota JPJ direman tujuh hari [METROTV]

Bas SPRM bawa tahanan terbakar [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 5:43 PM