Bot nelayan kelas A bernilai RM45,000 dirampas APMM Zon Maritim Kuala Kedah. FOTO Ihsan APMM
Muhaamad Hafis Nawawi


PANIK melihat kehadiran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyebabkan dua nelayan memecut laju bot dinaiki mereka sebelum terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan berhampiran pantai, hari ini.

Bot nelayan kelas A itu pada mulanya dikesan pada jarak 0.3 batu nautika barat daya Pantai Tebengau, Kuala Kedah pada 4 pagi sebelum anggota APMM Zon Maritim Kuala Kedah cuba menahan mereka untuk pemeriksaan.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, semasa cuba dihampiri nelayan terbabit memecut laju bot untuk melarikan diri.

Menurutnya, bot ronda APMM mengejar bot nelayan itu selama hampir 30 minit menyebabkan nelayan terbabit yang buntu kemudian bertindak terjun dan melarikan diri berhampiran kawasan pantai.

“Bot nelayan itu yang dianggarkan bernilai RM45,000 kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

“Siasatan juga mendapati ia beroperasi secara haram menunda pukat dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau juga menegaskan kepada pengusaha bot nelayan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan.

“Kerjasama erat dalam kalangan komuniti maritim setempat adalah faktor utama dalam membanteras pelanggaran undang-undang dan kegiatan jenayah di laut.

“Sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 7:37 PM