SYED Saddiq Syed Abdul Rahman (tiga, kiri) bersama Timbalannya Steven Sim Chee Keong (tengah) pada majlis perasmian Impact Malaysia di Spacerubix hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

KERAJAAN memperuntukkan RM10 juta kepada Impact Malaysia yang ditubuhkan bagi pembangunan belia dan sosial dengan penyertaan pelbagai sukarelawan di bawah satu bumbung.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, Impact Malaysia adalah platform serta pembaharuan dibuat bagi menghubungkan badan kerajaan, syarikat korporat, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), organisasi masyarakat sivil, perusahaan sosial dan individu.

“Ketika ini, kita sudah ada terlalu banyak program sukarelawan malah ada banyak kementerian mempunyai program sama dan berlaku pertindihan sekali gus membuatkan mereka bersaing sesama sendiri.

“Justeru Impact Malaysia adalah kombinasi semua pihak, membuka pintu kepada NGO, syarikat korporat, perusahaan malah individu melakukan inovasi sosial melalui teknologi terkini yang boleh digarapkan,” katanya selepas melancarkan Impact Malaysia di Spacecubix, di Puchong hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata Impact Malaysia bukan sekadar penjenamaan semula 1Malaysia 4 Youth (iM4U) selain menyatakan kesemua program yang dirangka adalah berbeza dan memberi kesan jangka masa panjang kepada masyarakat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Impact Malaysia, Ahmed Faris Amir berkata, terdapat tiga strategi dirangka iaitu Impak melalui Teknologi (ITT), Impak melalui Komuniti (ITC) dan Impak melalui Perniagaan (ITB) yang membolehkan interaksi kerjasama antara pelbagai pihak yang berkepentingan melalui semua program.

Katanya, ITT menghubungkan belia dengan inovator yang boleh memberikan teknologi kepada masyarakat dengan kos lebih efektif, manakala ITB pula memudahkan proses syarikat korporat dan perniagaan menyertai arena perubahan sosial.

Sementara itu, ITC pula adalah merealisasikan lebih banyak projek berimpak sosial diterajui golongan belia.

“Ketika ini, kita telah mempunyai dua projek perintis di bawah ITT iaitu membawa teknologi penapis air di Sungai Buloh, Selangor dan teknologi lampu mengguna pakai tenaga solar di Sungai Koyan, Pahang.

“Kita akan membawa mereka yang boleh memberikan teknologi kepada masyarakat dengan kos lebih efektif. Ini akan membolehkan belia menyumbang kemahiran yang mereka ada kepada komuniti setempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 10:05 PM