PENDUDUK memilih pakaian disumbangkan PEKA di Dataran Kesedar Putra, Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my


PERTUBUHAN Kebajikan Asnaf (PEKA) Gua Musang mengagihkan hampir 10,000 pakaian kepada penduduk golongan asnaf di Dataran Kesedar Putra di Bandar Baru Gua Musang, hari ini.

Pengagihan pakaian daripada peringkat bayi, kanak-kanak dan dewasa itu hasil sumbangan pelbagai pihak sempena pelancaran Tabung PEKA Gua Musang.

Pelancaran tabung dilakukan Penaungnya, Datuk Roshaini Razak yang turut menyumbang RM15,000 untuk mengisi tabung berkenaan.

Pengerusi Tabung PEKA Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, tabung itu ditubuhkan semata-mata untuk menjaga kebajikan golongan asnaf.

Katanya, pengagihan pakaian baharu dan terpakai juga sekali gus dapat meringankan bebanan perbelanjaan asnaf.

“Kita mempunyai lebih 3,000 kumpulan asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang perlu diberi perhatian sepanjang masa.

“Alhamdulillah, kita cukup terharu apabila menerima banyak sumbangan pelbagai pihak yang prihatin dengan nasib kumpulan asnaf terutama persiapan mereka menyambut Ramadan dan Aidilfitri nanti,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima, Ab Ghani Ahmad, 64, berkata pengagihan bantuan pakaian dapat menjimatkan perbelanjaan terutama bagi persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Saya mempunyai lima anak dan perlu belanjakan hampir RM1,000 untuk membeli pakaian mereka dengan wang upah menoreh getah.

“Dengan bantuan ini, bolehlah pakcik guna wang yang ada untuk membeli barang keperluan lain untuk Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 2:14 PM