ANGGOTA bomba membawa keluar mayat mangsa. FOTO ihsan bomba
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


LELAKI maut selepas terjatuh dari pokok petai setinggi 30 meter di kawasan hutan berhampiran Kampung Gunung Pasir, Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini.

Mangsa, Januar Hamid, 45, dipercayai tersilap memusingkan badan ketika mengutip petai di pokok berkenaan lalu terjatuh.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Menanti, Mohd Fauzi Shamir berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 9.11 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

Menurutnya, lokasi kejadian tidak dapat dilalui jentera bomba kerana kawasan hutan menyebabkan enam anggota terpaksa menaiki pacuan empat roda untuk masuk ke kawasan itu.

“Perjalanan menggunakan kenderaan itu juga hanya terhenti di separuh jalan kerana tiada laluan. Anggota kemudian berjalan sejauh satu kilometer untuk tiba di lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kita menemui mangsa dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri. Pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia akibat cedera di leher,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Fauzi berkata, pihaknya membawa mayat keluar menggunakan pengusung sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk bedah siasat.

Katanya, berdasarkan maklumat, mangsa menetap di kampung berkenaan dan masuk ke kawasan hutan itu untuk mengutip petai bersama seorang rakannya.

“Kejadian disedari oleh rakan mangsa yang kemudian menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 2:28 PM