Gambar Hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN seorang lelaki menyamar pegawai polis dengan berpura-pura memeriksa pasport warga asing berhampiran kedai runcit di Taman Senangin, Kulim, mengundang padah apabila ditahan polis, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam, perbuatan suspek berusia 41 tahun disedari salah seorang lelaki yang berada dalam kedai runcit sebelum bertindak menghubungi Balai Polis Hi Tech memaklumkan kejadian itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, suspek kemudian menghampiri lelaki yang menghubungi polis dan memperkenalkan dirinya sebagai polis sebelum turut meminta pasport untuk diperiksa.

Bagaimanapun Safuan berkata, lelaki terbabit enggan menyerahkan pasport miliknya menyebabkan suspek berang dan memaki hamunnya.

“Selang lima minit kemudian, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) tiba dan terus menahan suspek.

“Ketika ditahan, dia dalam keadaan mabuk sebelum dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harian Metro, hari ini.

Safuan berkata, semakan mendapati suspek memiliki empat jenayah rekod lampau membabitkan kes mendatangkan kecederaan, ugutan dan pecah rumah.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar penjawat awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 2:58 PM