BOMBA membantu mengangkat mayat mangsa sebelum dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat. FOTO Ihsan Pembaca
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


KEGEMBIRAAN lima sahabat beriadah di Tasik Taman Desa Kemandol, Jenjarom, Banting, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas selepas mandi di tasik itu, semalam.

Mayat mangsa, Muhammad Azzaly Azman, 15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya ditemui pasukan penyelamat pada jam 8.53 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama empat rakan sekolah ke tasik berkenaan kira-kira jam 3.30 petang semalam.

“Mereka yang datang dari Telok Panglima Garang dan Sijangkang dipercayai mahu beriadah di kawasan itu.

“Kira-kira sejam kemudian, tiga daripada mereka termasuk mangsa bertindak turun untuk mandi di tasik berkenaan.

“Namun, mangsa didapati tenggelam ketika hendak menyeberangi tasik dan tidak lagi timbul manakala dua rakannya berjaya naik ke tebing,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut beliau, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya tiba di lokasi kejadian bagi tujuan operasi mencari dan menyelamat pada jam 6.21 petang.

“Namun, mayat remaja lelaki ini berjaya ditemui pada jarak 15 meter dari tebing tasik berkenaan pagi ini.

“Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan disahkan meninggal dunia akibat lemas,” katanya.

Kata Azizan, jenazah dituntut keluarga untuk urusan pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 5:34 PM