Muhammad Apendy Issahak


DATUK Bandar Ipoh yang baru akan dilantik menggantikan Datuk Zamri Man, 52, yang dikatakan ‘menghilang’ tanpa berita sejak beberapa bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, Paul Yong Choo Kiong berkata, proses lantikan itu akan dibuat dalam masa terdekat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Proses lantikan sedang dilakukan memandangkan kita sudah mempunyai calon, kita juga akan membuat pengumuman mengenai perkara ini secepat mungkin...itu saja yang boleh saya katakan buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2019 di Ipoh Parade, Ipoh hari ini.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan Zamri mengalami masalah kesihatan, namun sepanjang tempoh ketiadaannya dia tidak mengemukakan cuti sakit.

“Keadaan ini yang pertama kali berlaku, seolah-olah dia (Zamri) menghilangkan diri.

“Dia tidak memberi sebarang surat termasuk kepada saya juga untuk mengatakan dia sakit yang mana hanya menyerahkan cuti sakit dua bulan selepas (menghilang),” katanya yang tidak memberitahu tarikh sebenar penyerahan itu.

Menurutnya, mengikut undang-undang, Datuk Bandar layak mengambil cuti sakit selama 90 hari.

“Malangnya tempoh tiga bulan itu juga sudah tamat tempoh dan kita belum menerima sebarang perkembangan daripadanya.

“Di pihak kerajaan, kita tidak boleh membiarkan masalah ini berlarutan sebaliknya perlu mengambil tindakan wajar untuk menyelesaikannya,” katanya.

Paul Yong berkata, dia sendiri cuba mencari Zamri di rumahnya namun tidak menemuinya dan tidak mengetahui di mana dia berada atau keadaan kesihatannya sebenar.

“Hingga hari ini saya tidak dapat hubunginya dan saya tidak tahu apa masalah dihadapinya,” katanya.

Zamri dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh pada 2015 bagi menggantikan Datuk Harun Rawi dan difahamkan kali terakhir dia dilihat adalah pada acara berbasikal, Ogos tahun lalu di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Sementara itu, usaha media untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu tidak berhasil apabila Zamri gagal dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 9:58 PM