TIGA beradik yang dilaporkan hilang daripada kediaman ibu saudara mereka. Foto Ihsan Pembaca
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


TIGA beradik yang dilaporkan hilang dari rumah ketika dalam jagaan ibu saudara mereka di Taman Rasa Sayang, Cheras pagi hari ini, ditemui di Johor Bahru, Johor.

Ketiga-tiganya, J Nashaleny, 15, J Naveena , 10, dan J Niklesh, 7, ditemui bapa saudara mereka 3.30 petang hari ini.

Ibu kepada kanak-kanak berkenaan, Vijayaletchumi, 37, berkata penemuan ketiga-tiga anaknya itu dimaklumkan oleh adiknya yang turut berada di Johor Bahru.

Katanya, buat masa ini mereka sekeluarga tidak tahu bagaimana anaknya boleh berada di Johor Bahru dan bagaimana keadaan mereka.

“Petang tadi adik lelaki saya yang berada di Johor Bahru menelefon memaklumkan ketiga-tiga mereka sudah ditemui di Johor 3.30 petang tadi.

“Buat masa ini, kami tidak tahu bagaimana keadaan mereka dan bagaimana boleh berada di sana.

“Kami serahkan kepada polis untuk menyiasat perkara itu,” katanya yang memaklumkan bahawa ketiga-tiga anaknya itu dibawa ke balai polis sebaik ditemui.

Vijayaletchumi berkata, ketiga-tiga anaknya itu disedari hilang pada 8.30 pagi di rumah kakaknya yang menjaga mereka.

Menurutnya, susulan kehilangan mereka, bapa saudaranya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Cheras.

Malah, katanya, mereka sekeluarga meminta pertolongan orang ramai bagi mengesan kanak-kanak berkenaan, termasuk menggunakan laman sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 10:46 PM