PENGUNJUNG pusat hiburan yang diperiksa pihak berkuasa. FOTO Zunnur Al-Shafiq
Mohd Azam Shah Yaacob


SERAMAI 82 pengunjung yang leka berhibur di kelab malam Jalan P Ramlee, Bukit Bintang,

Kuala Lumpur, terkedu apabila premis itu diserbu pihak berkuasa dalam Operasi Banteras Aktiviti Haram (Op BAH) 2.0, 11 malam tadi.

Ketika diserbu, kebanyakan mereka berusia 19 hingga 40 tahun dikesan mengambil minuman keras dan berpeleseran dengan pasangan yang dibawa.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Muhamad Irwan Abdullah berkata, susulan operasi itu seramai lapan remaja membabitkan lima lelaki dan tiga wanita ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur kerana positif mengambil dadah jenis Methamphetamine.

Katanya, pengunjung terdiri 66 lelaki dan 16 wanita diberi notis hadir kaunseling oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengikut Seksyen 43 Akta 559 Penyubahatan.

“Dalam operasi malam tadi yang turut disertai AADK, JAWI, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan majlis Keselamatan Negara (MKN), dua pusat hiburan diserbu.

“Namun, mengejutkan apabila serbuan dijalankan di lokasi kedua di Jalan P Ramlee di Bukit Bintang, pasukan operasi mendapati ia hanya dipenuhi remaja beragama Islam yang bukan saja berpeleseran malah ada antara mereka turut meneguk arak serta positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, lapan remaja positif Methampthetamine ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

Katanya, kelab malam itu pula dikesan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 30(1) dan 30(2) Akta Syarikat 2016 kerana gagal mempamerkan nama serta nombor pendaftaran syarikat pada papan tanda premis dan pada resit rasmi perniagaan.

“Kita agak kecewa kerana individu beragama Islam memang dilarang keras memasuki mana-mana pusat hiburan termasuk kelab malam di negara ini.

“Tetapi, dalam serbuan di lokasi kedua ini, pasukan operasi menemui kelab malam yang hanya dipenuhi remaja beragama Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 5:26 PM