MENTERI Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal ketika hadir ke istana bagi majlis angkat sumpah barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor baharu negeri Johor di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein dan Nurul Amanina Suhaini


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang membawa gelaran Datuk kepada Menteri Besar Johor, Dr. Sahruddin Jamal di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.

Pada majlis sama, 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (EXCO) mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor.

Pelantikan barisan EXCO adalah pelantikan semula dan lantikan baru selepas Dr Sahruddin Jamal menjadi Menteri Besar Johor menggantikan Datuk Osman Sapian yang menarik diri daripada jawatan itu pada 14 April lalu.

Barisan EXCO yang mengangkat sumpah adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Aminolhuda Hassan Dzulkefly Ahmad (Kota Iskandar), Jimmy Puah Wee Tse (Bukit Batu), Dr S Ramakrishnan (Bekok), Mohd Khuzzan Abu Bakar (Semerah), Sheikh Umar Bagharib Ali (Paloh) dan Liow Cai Tung (Johor Jaya).

Tiga nama baharu dalam barisan EXCO adalah Tan Chen Choon (Jementah), Mohd Solihan Badri (Tenang) dan Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai).

Ini bermakna dua nama EXCO terdahulu digugurkan iaitu Tan Hong Pin (Skudai) dan Mazlan Bujang (Puteri Skudai).

Terdahulu, kenderaan rasmi membawa barisan EXCO mula memasuki perkarangan Istana Bukit Serene sejak 8 pagi termasuk kenderaan yang membawa tiga ADUN yang disebut-sebut dilantik sebagai EXCO.

Dr Sahruddin dilihat tiba di Istana Bukit Serene, 8.40 pagi sebelum Majlis Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan EXCO bermula 9 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 10:47 AM