Muhammad Zahiruddin dikatakan dilihat di kawasan perumahan Darus Syifa di Bangi, beberapa hari lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS melakukan pencarian kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di flat di Bandar Seri Putra, Bangi, Isnin lalu, di kawasan berhampiran kediamannya.

Mangsa, Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, dikatakan keluar dari rumahnya kira-kira 8 pagi untuk bermain bersama rakannya sebelum dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, gerakan mencari kanak-kanak terbabit sedang giat dijalankan.

“Siasatan lanjut berhubung kehilangan kanak-kanak itu sedang dijalankan. Pencarian dilakukan pihak bomba serta APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) sebelum ini sudah ditutup minggu lalu.

“Di pihak kami, pencarian kini bertumpu di kawasan sekitar (rumah mangsa) dan taman-taman perumahan berhampiran. Malah, kehilangan mangsa juga sudah dimaklumkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negara,” katanya ketika dihubungi, di Kajang, hari ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan kanak-kanak itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Farah Nadia Mohd Hashim di talian 012 3600232 atau hubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kehilangan kanak-kanak itu disedari ibunya, Sainih Sunding, 46, sebaik tiba di rumahnya selepas pulang dari tempat kerja kira-kira 7 malam, Isnin lalu.

Bapa mangsa, Mohd Fauzi Abdul Ghaffar, 45, melaporkan kehilangan anak lelakinya itu di Balai Polis Bangi, awal pagi Selasa lalu sebelum kejadian itu turut dihebahkan melalui Nur Alert.

Berita berkaitan

[UPDATE] Zahir dilihat di Darus Syifa, Bangi?

[UPDATE] Operasi jejak Zahir ditangguh [METROTV]

Zahir di Bandar Tasik Selatan?

Zahir di mana?

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 1:44 PM