Mohd Hafizee Mohd Arop


AHLI keluarga Mohammad Ashraf Hassan, 29, yakin tulang yang ditemui di Gua Kandu, Gopeng, kelmarin, bukan milik Acap dan berharap keputusan ujian patologi kimia dijalankan nanti dapat menjawab segala persoalan yang timbul.

Abangnya, Mohd Zahiruddin berkata, walaupun tulang berkenaan seakan tulang betis namun dia yakin ia bukan milik adiknya.

“Banyak faktor menafikan yang itu tulang adik saya dan kami sekeluarga berharap itu memang bukan tulangnya, namun menyerahkan kepada pakar.

“Sebenarnya tulang itu ditemui oleh kumpulan saya yang melakukan pencarian di sekitar Gua Kandu sebelum memaklumkannya kepada penduduk dan bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zahiruddin berkata, walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah dihentikan namun ahli keluarga masih bergilir-gilir melakukan pencarian bersama-sama dengan penduduk kampung.

“Saya kini berada di Selangor namun tetap bergilir-gilir bersama ahli keluarga dan pasukan turun ke Gopeng untuk melakukan pencarian di lokasi adik dilaporkan hilang.

“Esok masuk sebulan adik hilang dan kami seluruh keluarga tidak akan berputus asa dengan meneruskan usaha seperti bacaan Yassin serta berharap dia ditemui,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, penduduk kampung yang melakukan pencarian Mohamad Ashraf menemui serpihan tulang dipercayai tulang lama di dalam Gua Kandu, Gopeng, kira-kira jam 1 tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihak forensik sudah mengambil satu tulang panjang seakan tulang betis dan lapan serpihan berukuran lebih kurang 15 sentimeter ke 20 sentimeter yang ditemui itu untuk ujian.

Bagaimanapun katanya, polis tidak menemui tengkorak atau rangka lain di lokasi itu dan masih belum dapat dipastikan milik manusia atau haiwan sehingga memperoleh keputusan ujian patologi kimia dijalankan.

Berita berkaitan

Jumpa tulang panjang, serpihan tulang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 5:08 PM